Rabu, 8 Januari 2020

Tenang, Rezeki Pasti Datang


Kehidupan di dunia ini adalah sementara. Kehidupan di dunia ini penuh dengan tipu daya. Malah kehidupan di dunia ini penuh dengan pancaroba yang cuba melalaikan manusia untuk semakin jauh daripada RahmatNya.

Kita seringkali terperangkap dengan tipu helah dunia yang kadangkala menjanjikan keasyikan. Jangan pernah meletakkan dunia pada hati kita, cukuplah ia berada di tangan kita, kerana lambat laun, dunia ini akan kita lepaskan sama ada kita suka atau tidak.

Apa yang kekal selamanya adalah Akhirat. Kehidupan yang menjanjikan kesenangan di syurgaNya bagi mereka-mereka yang beriman dan mendapat redhaNya.

Kita hari ini terlampau takut akan kemiskinan walaupun ramai penghuni syurga adalah daripada mereka yang miskin di dunia. Adakah kita hanya mahu senang di dunia selama 70 tahun berbanding kesenangan di akhirat selamanya?

Tenang, Rezeki Pasti Datang.

Hadapi hidup ini apa adanya. Nikmati segala kurniaan Allah pada kita setiap masa.
Jika bahagian kita di dunia sedikit, maka nikmatilah ia seadanya kerana Allah tahu itu yang terbaik buat kita di dunia dan di akhirat kelak.

Jangan di paksa-paksa rezeki datang kepada kita sehingga kita melawan ketentuan Allah dengan menggunakan pelbagai cara yang di larang olehNya.

Rezeki sebenar bagi mereka yang beriman adalah rezeki yang berkat walaupun sedikit. Tidak guna harta menimbun tetapi bersumberkan punca yang haram.

Kami yakin dan sangat percaya, mereka yang beriman akan tetap merasa rezeki yang sedikit tetapi berkat jauh lebih baik daripada rezeki yang melimpah ruah tetapi penuh dengan dosa.

Sebagai orang yang beriman, kita tahu ukuran rezeki itu adalah pada keberkatannya, bukan pada kuantitinya.

Dengan keberkatan pada rezeki, kita di kurniakan anak-anak yang soleh.
Dengan keberkatan pada rezeki, segala kerja yang susah menjadi senang.
Dengan keberkatan pada rezeki, rezeki tidak pernah putus dan sentiasa cukup walaupun sedikit.

Mulai hari ini sahabat.
Belajarlah untuk tenang.

Tarik nafas, fikirkan segala nikmat yang telah Allah berikan kepada kita, kemudian tunggulah, Rezeki Pasti Datang.