Memaparkan catatan dengan label Rezeki. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Rezeki. Papar semua catatan

Jumaat, 1 Januari 2016

Apakah maksud rezeki?


Assalamualaikum wbt,

Apabila kita bercakap soal rezeki, kebanyakan daripada kita akan mula menjuruskan rezeki itu kepada sesuatu yang bersifat material sahaja.

Contohnya seperti kekayaan, kemewahan, gaji yang besar, pendapatan yang lumayan dan sebagainya. Walaupun ia bukannya salah dari segi makna tetapi pemikiran yang menjurus ke arah ini perlu di perbetulkan.

Menafsirkan sesuatu itu mengikut citarasa kita sendiri akan menyebabkan kita akan sentiasa tertekan apabila mengenangkan rezeki yang mungkin pada masa itu bukanlah sesuatu yang kita harapkan.

Apabila kita tidak kaya seperti orang lain, hati kita mudah berbolak balik. Mudah kecewa dan yang paling teruk apabila kita mula menyalahkan tuhan atas apa yang terjadi. Nauzubillah...

Rakan sekalian, mari kami perjelaskan makna rezeki yang sebenar dalam bahasa yang mudah. Kita dapat bangun selepas tidur itu rezeki. Kita dapat berjalan itu rezeki. Kita dapat bekerja itu rezeki. Kita mempunyai masa itu juga rezeki.

Jadi jika apa yang anda perolehi dan menikmatinya ketika ini, itulah rezeki. Ianya sesuatu yang bermanfaat yang mungkin orang lain tidak memilikinya. Contohnya jika kita dapat menghirup udara segar hari ini tetapi berapa ramai yang terpaksa bergantung dengan alat pernafasan untuk meneruskan kehidupan.

Jika kita masih berpeluang menghadirkan diri ke masjid berapa ramai yang tidak berpeluang untuk mengunjungi Rumah Allah kerana penyakit?

Bersyukurlah sahabat. Jangan juruskan pemikiran kita kepada soal material sahaja apabila berbicara mengenai rezeki. Benar, hampir kesemua orang hari ini perlukan rumah yang besar, pendapatan yang lumayan, masa yang banyak dan kenderaan yang mewah tetapi adakah itu semua keperluan atau hanya kemahuan semata-mata?

Jika kita masih menaiki kereta kecil dan murah, bersyukurlah kerana kita masih berpeluang ke satu tempat yang lain dengan selamat, cepat dan mudah. Selalulah memandang ke bawah agar kita semua terhindar dengan penyakit hati. Penyakit yang boleh membawa seseorang itu ke arah yang menghinakan.