Selasa, 19 Januari 2016

3 Cara Mengubati Masalah Penyakit Sempit Rezeki


Setiap penyakit ada ubatnya, kecuali mati. Kami yakin anda pernah mendengar kata-kata ini. Malah, rezeki sempit juga adalah salah satu penyakit yang kita pernah, sedang atau bakal hadapi. Semua orang tidak kira sama ada kaya atau miskin, akhirnya akan mengalami penyakit ini. Bagaimana kita menanganinya yang membezakan antara kita semua.

Apabila kita mengalami penyakit ini, ramai yang salah dalam mencari penawarnya. Akhirnya penyakit ini terus menjadi semakin rumit, semakin membarah dan kadangkala kesudahannya amat mengecewakan bagi mereka yang gagal mencari penawarnya. Di sini, kami ingin berkongsi kepada anda bagaimana untuk menangani penyakit ini menggunakan penawar yang terbukti dan berkesan atas izin Allah SWT.

Sebagai orang islam, kita wajib mengakui bahawa semua rezeki adalah daripada Allah SWT, bukan daripada makhluk, bukan daripada kerajaan, bukan daripada syarikat, bukan daripada jawatan besar melainkan hanya daripada Allah SWT. Gagal mengakui dan meyakini rezeki ini daripada Allah, boleh menyebabkan kita jatuh syirik. Apabila ia berlaku, maka semakin jauhlah rahmat Allah daripada kita dan semakin bertambah parahlah penyakit kita.



Ramai di antara kita mengutamakan makhluk daripada mengutamakan Allah apabila menghadapi masalah sempit rezeki. Kita selalu mengandai-andaikan masalah boleh selesai apabila kita melakukan itu dan ini. Padahal perkara yang paling penting sebelum kita melakukan usaha, kita perlu kembali kepada Allah terlebih dahulu.

Beristighfar
Ini adalah langkah pertama. Apabila kita menghadapi masalah sempit rezeki, bertaubatlah kepada Allah, kembalilah kepada Allah. Beristighfar dengan sebaiknya dan menangislah memohon keampunan yang sungguh-sungguh di hadapan Allah. Sesungguhnya tiada jalan keluar daripada sebarang masalah melainkan dengan izin Allah.

Beribadah
Perbaikilah ibadah kita kepada Allah SWT dengan sebaiknya. Ibadah bukan hanya pada solat sahaja tetapi semua segala aspek kehidupan seharian kita. Niatkan semua perkara baik yang ingin kita lakukan kerana Allah, bukan kerana makhluk. InsyaAllah dengan niat yang betul kerana Allah semua urusan akan di permudahkan

Menjalankan Perintah Dan Meninggalkan LaranganNya
Langkah terakhir adalah langkah yang paling mudah di lakukan tetapi ramai yang gagal melaksanakannya dengan baik. Dosa kecil jika di lakukan berulang kali tanpa rasa menyesal boleh menjadi dosa besar. Amalan yang kecil jika di lakukan dengan istiqamah adalah lebih baik daripada melakukan Amalan yang besar tetapi tidak istiqamah.

Di harapkan dengan perkongsian ringkas ini, anda dapat membuka minda untuk kembali kepada Allah apabila di uji dengan penyakit sempit rezeki. Sesungguhnya setiap ujian itu mempunyai ganjaran yang perlu kita syukuri nikmatnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan