Khamis, 28 Januari 2016

Kisah Si Pendosa


Tepat pukul 6 pagi, loceng jam berbunyi dengan agak nyaring di keheningan pagi yang sunyi. Amir masih lagi berbungkuskan selimut tebal di badannya. Bunyi loceng jam yang boleh di dengari sehingga keluar rumah seakan tidak di dengari walaupun jam itu berdekatan dengannya.

Malam tadi, Amir tidur agak lewat, itupun terlelap sendiri. Ketika itu jam sudah pukul 2 pagi dan dia terlelap ketika telefon bimbitnya masih di tangan.

Setelah 15 minit berlalu, jam berbunyi lagi yang membuatkan Amir sedikit tersentak. Di capainya jam itu dan di lihatnya dengan mata yang masih agak berat untuk di buka. Oh..baru 6 suku, bisik hatinya. Di matikan semula jam loceng tersebut dan terus menarik semula selimut yang tebal menutupi tubuhnya.

Tiba-tiba, deringan jam yang sangat bingit membangkitkan Amir dari tidur nyenyaknya. Kali ini dia tidak lagi bermalas-malasan seperti tadi. Seperti seorang yang terkena renjatan elekttrik, dia bingkas bangun dan terus meluru ke bilik mandi. Dia tahu, hari ini dia akan lewat lagi untuk masuk ke pejabat. Di dalam bilik mandi, tidak banyak yang di fikirkannya melainkan dia perlu segera bersiap untuk bekerja.

Jam di tangan sudah pun menunjukkan pukul 8.15 dan Amir seperti sudah memahami rutin pada waktu-waktu begini terus memecut laju motosikal yang di tunggangnya. Sedikit sebanyak timbul rasa kekesalan di dalam diri Amir ketika ini. Silapnya bermula apabila dia tidak bangun terus bila jam berbunyi ketika subuh tadi.

Dia terlepas lagi solat subuh hari ini.
Kekesalan terus mencengkam diri Amir.
Seakan dirinya sangat hina.

Astaghfirullah...

Bam!..Satu pejabat tergamam. Semua orang memandang ke arah Amir dengan pelbagai persoalan. Lelaki separuh abad di hadapan Amir masih memandang ke arahnya tanpa sebarang kata. Amir tertunduk. Hari ini bukan setakat dia bangun lambat, malah terlepas mesyuarat yang sepatutnya dia hadiri bersama orang atasannya untuk satu projek yang besar nilainya. Sebagai seorang pekerja yang sentiasa mendapat pujian pihak pengurusan, pagi itu merupakan hari yang 'malang' untuknya.

Amir membongkok dan mengambil beberapa keping kertas yang berada di atas lantai dengan perasaan bercampur baur. Perasaan sedih yang di alaminya tadi kini bercampur marah. Dia agak malu di perlakukan sebegitu oleh majikannya di hadapan rakan-rakan pejabatnya.

"Macam ni engkau buat kat aku kan", getus hati Amir melihatkan tindakan Encik Rahmat yang membaling beberapa kertas ke arah mukanya sebentar tadi. "Engkau ni dah kenapa? Tau tak kita dah terlepas projek RM500,000 hari ni sebab kau buat masalah??" Herdik Encik Rahmat sebentar tadi yang masih terngiang-ngiang di telinganya. "Maaf Tuan, Saya bersalah", hanya itu kata-kata yang mampu di ucapkan Amir.

Ego Amir seakan tercalar dengan apa yang telah terjadi pagi tadi. Jam di tangan masih menunjukkan Pukul 3.30 petang. Seakan masa tidak ingin bergerak, Amir kehulu kehilir cuba tidak memikirkan masalah yang di hadapinya pagi tadi. Selepas peristiwa pagi tadi, Encik Rahmat terus keluar dan tidak lagi masuk sehingga saat ini.

Biasanya, Pada waktu-waktu begini, Amir dan Encik Rahmat akan keluar sebentar untuk minum petang di Kedai Mak Minah di seberang jalan. "Takpe Amir, Aku percayakan kau. Yang penting, presentation tu kau esok mesti buat sehabis baik". Teringat perbualan Amir dengan Encik Rahmat semalam ketika mereka minum bersama.

Tidak sangka, dalam tempoh 24 jam, perbualan mesra dengan majikannya berubah nada dan seakan mereka bermusuh untuk sekian lama. Bila di fikirkan kembali, Amir tidak dapat menerima kecuaian yang di lakukannya.

"Amir, jom solat", tersentak Amir dari lamunannya bila satu suara di dari belakang membawa dia semula ke alam realiti.

"Err..takpelah, ko pergi dulu, kejap lagi aku datang", balas Amir acuh tak acuh dengan berpura-pura sedang melakukan kerja.

Ha..Dah pukul 5.30 pun. Bisik hati Amir bila melihat jam di dinding pejabatnya. Nanti Solat Asar kat rumahlah..Biasanya, dia akan solat di surau pejabatnya dahulu sebelum pulang. Tapi hari ini, dia ingin terus bergegas pulang. Sebenarnya dia tidak mahu lama-lama di pejabat hari ini setelah apa yang berlaku. Dia malu, dan tidak mahu terus menjadi bahan ejekan oleh rakan-rakan pejabatnya yang dia sendiri sedari apabila dia mendengar mereka berbisik-bisik.

Hari ini seakan masa yang cukup panjang untuk Amir. Hari yang memenatkan. Dengan cuaca yang agak terik petang tadi membuatkan dia agak letih dah terus membaringkan diri di katil bujangnya.

Nak rehat kejap. Bisik hatinya sambil berbaring memegang telefon bimbit di tangannya. Matanya di rasakan amat berat dan terus terlelepa sehinggalah....

"Allahuakbar, Allahuakbar..." Tersentak Amir dari tidurnya. Di lihat jam pada tangannya.. Astghfirullah..dah pukul 8.30 malam.

Alamak..Apa yang dah aku buat ni...Amir mengucap panjang. Tanpa sedar, dia telah terlepas 4 solat sejak pagi tadi dek kerana sikapnya yang suka bertangguh.

Dia panik dan rasa menyesal yang amat sangat...Dia tidak mahu terlepas lagi solat.

Dia bingkas bangun dan terus menuju ke bilik Air...

Tiba-tiba..Tanpa di sedari, kaki Amir tersadung dan membuatkan dia hilang kawalan dan kepalanya terhantuk ke kepala paip dengan agak kuat.

Tubuh Amir terjelepuk ke atas lantai tandas.

Tidak bergerak.

Beberapa ketika darah di kepalanya mula keluar...

"Solat itu ringan bagi orang yang ambil berat dan solat itu berat bagi orang yang ambil ringan.."



Tiada ulasan:

Catat Ulasan